2 lelaki edar dadah dihukum gantung

ALOR SETAR: Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 2.8 kilogram di Gurun, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim, menjatuhkan hukuman itu terhadap Rizal Sham Ahmad, 32, yang juga seorang pemandu van kilang dan rakannya Md Fitri Md Saad, 31, seorang penganggur kerana didapati bersalah mengedar dadah itu di tempat letak kereta di hadapan Pasar raya Aneka, Gurun kira-kira jam 4 petang, 7 Februari 2006.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Zamani sebelum menjatuhkan hukuman itu berkata, mahkamah juga mendapati keterangan pembelaan oleh kedua-dua tertuduh terbabit bercanggah antara satu sama lain.
Rizal Sham dalam keterangan pembelaannya memberitahu mahkamah wujud orang ketiga yang didakwa pemilik dadah berkenaan ketika mereka berdua menaiki sebuah kereta, bagaimanapun, Md Fitri pula menyatakan hanya mereka berdua di dalam kenderaan berkenaan.
“Mahkamah mendapati keterangan pembelaan tertuduh pertama yang mengatakan ada seorang lelaki lain di dalam kereta Perodua Kenari yang dikatakan memiliki bungkusan ganja berkenaan adalah rekaan saja.
“Keterangan tertuduh kedua pula tidak menyebut sama sekali wujud individu ketiga dalam kenderaan dinaiki mereka yang terbabit dan mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah, kamu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sebaik hukuman dijatuhkan, Rizal Sham didapati tunduk dan menggelengkan kepala, bagaimanapun tertuduh kedua kelihatan tenang.
Rizal Sham diwakili peguam M Chandran, manakala Md Fitri diwakili peguam A Ashok. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim.
sumber : berita harian online
Comments
Post a Comment