Jaga tembak dua rakan sekerja

KLANG: Hanya kerana ditegur tidur ketika bertugas, seorang pengawal keselamatan yang baru bertugas tiga bulan, menembak mati dua rakan sekerjanya dengan menggunakan senapang di tempat letak kereta kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, awal pagi semalam.
Dua mangsa itu – P Mailvaganam, 47, dan S Gunasilan, 22, – mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada, selepas terkena dua das tembakan dilepaskan pengawal keselamatan berusia 37 tahun itu.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata pada kejadian jam 5.30 pagi itu, seorang mangsa menegur suspek yang tidur ketika bertugas sehingga berlaku cabar mencabar.

“Ketika bergaduh, suspek melepaskan dua das tembakan menggunakan senjata dibawanya yang mengenai dada mangsa. Suspek kemudian menyerah diri kepada ketua pengawal di bilik pengawal keselamatan hospital ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek sudah ditahan untuk siasatan, manakala mayat kedua-dua mangsa kini berada di rumah mayat untuk dibedah siasat,” katanya di tempat kejadian, semalam.

Omar berkata, ketika kejadian, suspek belum selesai syif kerjanya iaitu daripada jam 7 malam hingga 7 pagi dan lokasi kejadian 100 meter dari bilik pengawal keselamatan di pintu masuk utama hospital itu.
Difahamkan, polis juga menyiasat sama ada suspek berada dipengaruh dadah ketika kejadian dan senjata yang digunakan sudah dirampas.

Sementara itu, ibu Gunasilan, M Rajeswari, 37, yang turut bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital sama, berkata beliau dimaklumkan kejadian itu jam 6.25 pagi ketika bertugas di wad bersalin, tingkat satu hospital berkenaan.

“Mula-mula mereka kata kes kemalangan jadi saya tanya kenapa panggil saya. Apabila ke tempat letak kereta, saya tengok anak saya sudah mati. Siapa yang tembak saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita.

Rajeswari berkata, kali terakhir beliau berjumpa anak sulungnya itu jam 12.30 tengah malam kelmarin.



Kredit : Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

Lelaki rogol, samun pelajar kena 30 tahun

Hukuman gantung sampai mati bunuh ibu tiri

Taktik bawa lelaki masuk rumah terbongkar