Doktor tentera antara suspek pembunuhan Kevin Morais
Pagi ini, polis yang dibantu anggota bomba dan penyelam dibawa kepada penemuan satu tong dram dipenuhi simen yang dipercayai mempunyai mayat Timbalan Pendakwaraya berusia 55 tahun itu di dalam guni.
Dram itu dikatakan dibuang ke dalam kolam di belakang Sekolah Cina Chee Wen di Taman Subang Mewah.
“Seorang daripada suspek ditahan semalam yang membawa polis kepada penemuan dram yang dibuang,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Salleh kepada media di lokasi penemuan dram itu.
Selain doktor berkenaan, enam individu termasuk seorang ibu dan anaknya ditahan dalam serbuan serentak di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Hasil siasatan mendapati penculikan Morais berkaitan dengan pendakwaan kes rasuah yang dijalankannya.”
“Kita akan menunggu pemeriksaan forensik bagi memastikan sebab kematian dan mengesahkan identiti mangsa.”
Selepas subuh pagi tadi, polis berkumpul di kawasan kolam di belakang sekolah dan mengepung sekitarnya.
Penyelam polis didatangkan khas ke situ dan sebaik menemui tong dram minyak, kren digunakan bagi mengangkatnya dari dalam kolam.
Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan mereka untuk membuka tong dram keluli dan menggunakan gerudi tukul berkuasa bagi memecahkan simen.
Satu guni dikeluarkan dan diletakkan di atas pengusung untuk dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur.
Mohamad yakin lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam jangka masa terdekat ini selain mengesahkan bahawa `suspek utama’ berada dalam tahanan polis sejak tengah hari semalam.
Sebaik selepas Morais dilaporkan hilang pada 4 September lalu, The Rakyat Post melaporkan bahawa polis menyaring kes yang dikendalikan Morais kerana percaya kehilangan berkait rapan dengan beberapa kes yang dijalankan.
Morais berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan selepas tugasan selesai, dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan.
Rakan sejawatnya menganggap Timbalan Pendakwa Raya terkenal itu sebagai individu yang kuat bekerja serta berusaha menyelamatkan sabitan secara teliti dalam kebanyakan kes yang didakwa.

Comments
Post a Comment