Azilah, Sirul Azhar dihukum gantung
PUTRAJAYA 13 Jan. - Perjalanan kes berprofil tinggi berkaitan pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu tiba ke penghujungnya apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh model sambilan itu.
Ketetapan tersebut dicapai hasil keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.
Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati setelah mereka didapati bersalah pada 9 April 2009.
Mahkamah tertinggi negara menyampaikan keputusan tersebut tanpa kehadiran Sirul Azhar, 44, walaupun kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didakwa bersama-sama membunuh Altantuya yang merupakan seorang penterjemah Mongolia.
Selesai keputusan dibaca dalam tempoh kira-kira 40 minit, panel itu memaklumkan bahawa waran tangkap dan perintah komital dikeluarkan terhadap Sirul Azhar ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.
Azilah, 39, tidak memberi sebarang reaksi ketika keputusan diumumkan dalam mahkamah yang dipenuhi orang awam dan petugas media. Dia kemudian berbincang dengan para peguam yang mewakilinya sebelum diiringi oleh polis mahkamah untuk dihantar ke Penjara Kajang.
Sebelum itu, Azilah yang berpakaian sut hitam dilihat memasuki kamar bicara kira-kira pukul 9 pagi melalui pintu bahagian dalam yang hanya boleh dilalui oleh kakitangan mahkamah dan menuju ke galeri awam sementara menanti kesnya dipanggil.
Dia yang kini digantung perkhidmatan sementara menunggu rayuan itu dilupuskan kelihatan bersalam-salaman dengan beberapa individu yang hadir mendengar keputusan.
Azilah (responden pertama) dan Sirul Azhar (responden kedua) disabitkan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.
Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 51, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Bukti keterangan kes menyatakan, Altantuya sama ada dibunuh dengan peledak atau dibunuh terlebih dahulu sebelum diledakkan menyebabkan tubuhnya berkecai sehingga cebisan daging dan tulangnya bertaburan.
Ketika mahkamah bersidang pukul 9.19 pagi, Timbalan Peguam Cara Negara 1, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memaklumkan bahawa notis pemberitahuan yang menghendaki Sirul Azhar hadir ke mahkamah mendengar keputusan rayuan tidak dapat diserahkan kepadanya.
Bagaimanapun, Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop meneruskan penyampaian keputusan tanpa kehadiran Sirul Azhar.
Hakim Suriyadi sebelum membacakan ringkasan penghakiman bertulis memaklumkan, beliau akan memberi tumpuan kepada alasan penghakiman bagi menjimatkan masa mahkamah kerana penghakiman penuh mempunyai 88 muka surat.
Berikut adalah ringkasan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Azilah Hadri dan Sirul Azhar.
Pembelaan alibi Azilah merupakan penafian semata-mata kerana tidak mungkin dia berada di Bukit Aman atau Wangsa Maju pada hari kejadian kecuali di lokasi-lokasi panggilan dibuat.
Pembelaan alibi Azilah bahawa dia tidak berada di Puncak Alam iaitu tempat kejadian pembunuhan Altantuya, sebaliknya berada di Bukit Aman bersandarkan kepada diari stesen (D428), tidak diterima kerana dokumen itu hanya boleh disahkan oleh pembuatnya, bukan pegawai penyiasat.
Senarai panggilan telefon bimbit yang dibuat oleh Azilah tidak satu pun mencatatkan panggilan dibuat dari Bukit Aman atau Wangsa Maju seperti yang didakwanya. Sebaliknya panggilan dibuat dari Pekan Subang, Kampung Melayu dan Puncak Alam dan ketiga-tiga lokasi itu terletak jauh dari Bukit Aman.
Polis tidak mengetahui lokasi sebenar pembunuhan Altantuya jika tidak ditunjukkan oleh kedua-dua responden. Azilah dan Sirul Azhar membawa polis ke tempat kejadian pada masa yang berlainan dan tempat tersebut merupakan kawasan terpencil di atas bukit iaitu lokasi cebisan-cebisan tubuh manusia kemudiannya ditemui.
Kedua-dua responden merupakan anggota UTK yang tidak mudah diperlekehkan selain tiada bukti keterangan yang menunjukkan mereka diperdaya atau didera ketika siasatan.
Sirul Azhar tidak menjelaskan di mahkamah berhubung penemuan barang kemas milik Altantuya iaitu sepasang anting-anting, sebentuk cincin emas dan seutas jam tangan jenama `Larmens’ pada jaket hitam dalam almari di rumahnya.
Kegagalan mengemukakan khidmat pesanan ringkas (SMS) di antara Deputi Supritendan (DSP) Musa Safri, Abdul Razak dan Azilah tidak menimbulkan ketidakadilan terhadap responden pertama kerana Musa tidak pernah mengarahkan Azilah membantu Abdul Razak melainkan hanya diarah mengadakan pertemuan dengannya. Azilah bertindak atas budi bicara dan kewarasannya sendiri.
Niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan telah dibuktikan dalam tuduhan kerana kedua-dua responden pertama kali dilihat di Hotel Malaya pada 18 Oktober 2006 melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta di rumah Abdul Razak keesokannya.
Selipar yang mempunyai kesan darah Altantuya dijumpai dalam kereta Sirul Azhar dan penemuan barang kemas dalam jaketnya membawa kesimpulan bahawa barang-barang itu diperoleh daripada mangsa dari tempat kejadian di Puncak Alam.
Senarai panggilan menunjukkan Azilah membuat panggilan dari Puncak Alam menyimpulkan bahawa dia berada di tempat kejadian bersama-sama Sirul Azhar. Kereta Sirul Azhar digunakan untuk membawa mereka bertiga ke Puncak Alam.
Pembelaan Sirul Azhar dari kandang tertuduh tidak membantu kerana keterangannya tidak selari dengan bukti keterangan yang lebih kukuh di mahkamah.
Mahkamah tidak mempercayai pembelaan Sirul Azhar yang menyatakan penglibatannya berakhir selepas dia meninggalkan Altantuya bersama Azilah dalam sebuah kereta di hadapan rumah Abdul Razak.
Azilah dan Sirul Azhar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Azilah diwakili oleh peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar manakala Sirul Azhar oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Rezua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.
Update :
Seorang sudah lari ke Australia. Polis Malaysia putih mata.

Comments
Post a Comment